Selasa, 31 Mac 2009

SECEBIS ILMU, SEGUNUNG HARAPAN







Pengalaman yang mengisi diari hidupku apabila pertama kali menjadi fasilitator kem motivasi kecermerlangan UPSR di Sekolah Sungai Haji Dorani pada 28 Mac ’09 yang lepas. Keterlibatan aku dalam progam ini bersama seorang lagi temanku kerana ingin memenuhi jadual harianku disamping menambah pengalaman. Kami menyertai program ini atas jasa baik seorang teman daripada Persatuan Bahasa Arab yang mengajak untuk menjayakan program ini bersama. Perjalanan kami ke sana tidak mengambil masa yang lama Cuma keadaan jalannya yang sedikit rosak menyebabkan kami kelewatan untuk sampai. Ketibaan kami di Kampung Sungai Haji Dorani disambut dengan keindahan sawah padi yang terbentang luas sayup mata yang memandang, kesuburan tanaman yang memikat hati kerana kerajinan penduduknya bercucuk tanam, keenakan rasa buah mangga yang pastinya melekat diingatan. Sepanjang kami berada disana, perhatian dan kerjasama yang cukup kuat kami perolehi daripada pihak sekolah. Seramai 69 orang pelajar yang terlibat dalam Kem Motiasi Kecemerlangan tersebut. Adik-adik yang menjadi tanggungjawabku seramai 8 orang. Aku bersyukur kerana dengan izin Allah aku dapat membimbing pelajar-pelajar tersebut walaupun sekadar secebis ilmu yang ku hulurkan, namun harapan dan doaku agar mereka berjaya dalam hidup. Kesedihanku amat terasa apabila seorang pelajar bawah bimbingan ku mempunyai kelemahan 3M (membaca, menulis dan mengira). tumpuanku dilebihkan kepada Najid yang mempunyai kelemahan 3M, namun tidak aku abaikan pelajarku yang lain seperti Hafiz, Amar, Faiz, Hanif, Izzati, Amira dan Alia. Telatah pelajar-pelajar di sekolah tersebut membakar semangat kami semua untuk menabur jasa dan bakti pada generasi muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Akhirnya setiap yang bertemu akan berpisah jua, kami mengakhiri pertemuan dengan bergambar bersama-sama tanda ingatan dan kenangan yang sudah pasti tidak dapat dilupakan. Jutaan terima kasih kepada Cikgu Mesori dan Ustaz Faiz yang banyak membimbing untuk menjayakan program ini. Pada masa akan datang lebih banyak program sedemikian diadakan untuk memberi sedikit semangat kepada pelajar-pelajar dan memberi pengajaran serta pengalaman kepada kita jua.

Tajuk: Secebis ilmu, Segunung Harapan
Nukilan Rasa: Sakura












Rabu, 25 Mac 2009

keinsafanku












Sudah menjangkau 3 tahun pengajianku di UPSI ini. Dalam tempoh yang panjang itu pelbagai pengalaman dan ilmu serta pengajaran yang aku timba bersama-sama teman seperjuangan yang mempunyai seribu satu ragam yang sukar ditafsirkan melalui kata-kata. Namun kerana kepelbagaian itulah yang membuatkan hidupku bermakna bersama mereka dan menjadi titian sillatulrahim yang cukup erat.

Dalam kesibukan aku dan teman-teman menyiapkan tugasan dan menghadiri kuliah,aku dan teman-teman tidak ketinggalan untuk menjelajah bumi bertuah ini. Walaupun tidak semua tempat yang aku lawati tetapi cukup memberi kepuasan dalam diari hidupku untuk aku menceritakan kepada anak cucuku pada masa akan datang.

Keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa ini tidak dapat diucapkan dengan kata-kata cukuplah hanya mengucapkan “Subbahanallah” bertapa agungnya ciptaanmu untuk umat manusia menghayati dan mengingati kebesaranMu ya Allah..........

Sebagai insan yang lemah, bertapa kerdilnya aku rasakan ketika menyaksikan kuasa Allah yang maha hebatnya. Penyaksian tersebut membuatkan diriku insaf bahawa kita hanya insa biasa yang harus bersyukur dengan segala nikamat yang telah dikurniakan oleh Allah S.w
.t.
Tajuk: Keinsafanku
Nukilan rasa: Sakura

Selasa, 24 Mac 2009

BAHASAKU HILANG SERINYA

Dulu ia disanjung dan julang,
Dulu ia megah meniti di bibir setiap insan,
Dulu ia terkenal dan dihormati,
Mengapa kini kau hilang serinya,

Kini kau semakin terpinggir,
Kini tempat kau diganti dengan yang lain,
Kini ia hanya tertulis di atas kertas sahaja,
Kini ia menjadi musafir di bumi sendiri,

Adakah kerana bahasa asing lebih hebat,
Adakah kerana rendahnya bahasa sendiri,
Adakah kerana implikasi globalisasi,
Adakah kerana pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi(ICT),

Kau sebagai anak bangsa Melayu,
Kau sebagai penutur Bahasa Melayu,
Kau sebagai pewaris Bahasa Melayu,
Tegarkah kau melihat bahasamu dipersenda guraukan,

Aku pencinta bahasa Melayu yang setia,
Aku pewaris bahasa ku,
Aku pejuang bahasaku,
Akan aku pertahankan hingga nyawa dikandung badan.


Tajuk: Bahasaku hilang serinya.
Nulikan rasa: Sakura

Khamis, 5 Mac 2009

Wajah Tua



Rinduku pada wajah tuanya,
Rinduku pada leterannya,
Rinduku pada usapan kasar tangannya,

Kerinduan ini mengajar aku erti ketabahan,
Kerinduan ini mengajar aku erti kecekalan,
Kerinduan ini membakar semangatku,
Untuk mengejar impian dan harapan,

Buat ayah dan bonda tercinta,
Doa dan restumu ku pinta,
Agar aku dapat melakar sebuah kejayaan,
Sebelum kau menutup mata.

Tajuk : Wajah Tua
Nukilan : Sakura

Isnin, 2 Mac 2009

BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN



Sahabat,

Di bumi Tanjong Malim yang bertuah,

Kita ditemukan tanpa diduga,

kau, aku dan dia berbeza,

tapi kita punya cita-cita yang sama,


Sahabat,

Impian dan harapan kita mungkin berbeza,

tapi kita punya niat yang sama,

Di sini kita mengenal..

Erti sebuah persahabatan,

Erti sebuah kehidupan,

Erti sebuah kekecewaan,

Erti sebuah kegagalan,


Sahabat,

Ayunlah langkah kakimu,

Jangan kau berhenti dipertengahan jalan,

Walau jalannya berduri tidak selembut baldu,

Tempohinya dengan hati yang cekal dan tabah,

kerana kitalah bakal pewaris bangsa,

Pencorak masa depan generasi gemilang.

Tajuk: Buat Sahabat Seperjuangan

Nukilan: Sakura